Selasa, 31 Ogos 2021

Tambahan RM2.8 juta untuk pesawah terjejas di Yan, Kuala Muda

Ronald mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah. Foto Ihsan MAFI

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM2.8 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada para pesawah yang terkesan akibat bencana alam yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.

Beliau berkata, kadar bantuan yang diberikan itu adalah sebanyak RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum sebanyak tiga hektar.

“Penilaian bagi pesawah yang terlibat akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald berkata, beliau dimaklumkan kira-kira 34.2 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Boi, Yan yang berusia antara 75 hingga 105 hari di bawah seliaan MADA telah terjejas.

Tambahnya, kawasan luar jelapang yang terkesan adalah di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok seluas 18.4 hektar yang berusia antara 95 hingga 105 hari.

“Manakala, kawasan di bawah seliaan Jabatan Pertanian pula melibatkan 15,759 hektar yang berusia antara 95 hingga 110 hari.

“Ini menjadikan keseluruhan keluasan yang terlibat adalah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: