Isnin, 30 Ogos 2021

KPI 100 hari: PAS perlu buktikan ‘tok lebai’ boleh buat kerja

 Athirah Huda Zalhe

Saran kecilkan semangat kepartian, fokus sumbangan kenegaraan: Ridhuan Tee

BANGI – Pemimpin PAS perlu menggunakan sepenuhnya peluang 100 hari untuk membuktikan prestasi cemerlang sebagai anggota Kabinet dalam kerajaan baharu.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, PAS perlu membuktikan bahawa ‘tok lebai’ boleh buat kerja untuk menaikkan saham parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Justeru, beliau menyarankan PAS supaya mengecillkan semangat kepartian dan memfokuskan kepada semangat serta sumbangan kenegaraan.

“Kadang kala kita lihat, semangat kepartian itu terlalu tinggi sehingga menimbulkan ketaksuban.

“Semua ini hanya akan melemahkan PAS, meskipun sebahagian pemimpin telah cuba melakukan yang terbaik ketika berada dalam kerajaan,” katanya dalam tulisan di ruangan kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Mohd Ridhuan Tee turut mengingatkan pemimpin parti itu untuk mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi peribadi, terutama membabitkan isu harta, wanita dan takhta.

“100 hari tidak lama, sementara menunggu PRU15. Benar, saya tahu, kamu sedang menunggu mandat yang baharu, untuk mendapat lebih banyak kerusi daripada 18 yang sedia ada.

“Sekiranya kamu berjaya tunjukkan, tidak mustahil, PRU15 nanti kamu akan mendapat lebih kerusi dan boleh minta lebih banyak lagi demi maslahah ummah,” katanya.

Tiada ulasan: