Sabtu, 28 Ogos 2021

Sabah catat kematian Covid-19 tertinggi, 41 kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
 
MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah hari in mencatatkan 41 kes kematian iaitu paling banyak direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kematian paling banyak dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu 19 kes diikuti lima kes di Sandakan dan empat kes di Tuaran.

Tiga kematian masing-masing dilaporkan di Penampang dan Keningau; dua kes di Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan serta satu kes di Tenom.

Hari ini kes positif Covid-19 kekal melepasi 3,000 kes bagi empat hari berturut-turut, iaitu 3,010 kes dan tiada kluster baharu dilaporkan.

Masidi berkata, sebanyak 1,206 kes hari ini merupakan keputusan saringan tertunggak selama dua hingga tiga hari manakala, 213 kes lagi keputusan saringan daftar lewat antara empat hingga lima hari dan 482 kes daftar lewat melebihi lima hari.

“Seluruh Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif yang meningkat dengan jumlah catatan sebanyak 1,782 kes daripada saringan kontak rapat.

“Maka, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlaku aktiviti tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan biarpun saranan telah diberikan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, daripada 3,010 kes positif ini, 278 kes membabitkan jangkitan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berusia di bawah setahun sehingga lima tahun.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 137,527 kes dan bilangan keseluruhan pesakit yang sembuh sebanyak 106,512 orang.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: