Selasa, 31 Ogos 2021

Kabinet baru perlu pastikan vaksinasi capai sasaran, pacu ekonomi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

TAN SRI Muhyiddin Yassin berharap Jemaah Menteri yang baru dilantik akan memberikan tumpuan segera kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara daripada wabak COVID-19, menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.

“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara.

“Saya mendoakan agar seluruh barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah oleh Allah SWT untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara,” kata bekas Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada akhir Februari lalu telah menetapkan mencapai sasaran imuniti kelompok pada awal tahun depan.

Sasaran itu kemudian dipercepatkan kepada akhir Oktober ini selepas kadar vaksinasi di Malaysia diakui antara terpantas di dunia sejak bulan lalu.

Menerusi kenyataan itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Beliau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dari parti-parti komponen PN.

“Sesusungguhnya pelantikan ini adalah suatu amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

Tiada ulasan: