Selasa, 31 Ogos 2021

Polis cari saksi kes lelaki maut dirempuh lori tunda

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Lokasi kejadian mangsa dirempuh lori tunda tersebut, kelmarin.

SUBANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori tunda di kilometer (km) 26.6, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran susur masuk ke Taman Maju Jaya, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah malam dan mangsa yang maut dikenali Mohan Rajah berusia 45 tahun.

Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada bahagian belakang akibat dirempuh lori tunda tersebut, kelmarin.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Puchong Perdana menghala Puchong Utama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori tunda berwarna kuning.

“Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” ujarnya hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor K. Ratnacristinavany di talian 0179074893. – K! ONLINE

Tiada ulasan: