Selasa, 31 Ogos 2021

14 kanak-kanak dijangkiti Covid-19, pusat jagaan perlu sumbangan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seramai 14 kanak-kanak di sebuah rumah jagaan anak kelainan upaya di Petaling Jaya, Selangor kini menjalani kuarantin setelah disahkan positif Covid-19 pada 25 Ogos lalu.

Berusia antara lima hingga 16 tahun, mereka dikuarantin di sebuah dewan serba guna di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah.

"Hanya kanak-kanak yang positif dikuarantin. Penjaga negatif," kata sukarelawan pusat itu, Sity Viknendraa.

Justeru, pusat tersebut memohon sumbangan dalam bentuk makanan, vitamin dan pemakanan tambahan (supplement) untuk mereka yang dikuarantin.

"Pada masa ini, kami amat memerlukan vitamin C, panadol dan cecair paracetamol untuk mereka.

"Kami juga hargai jika ada yang mahu menyumbang makanan kepada anak-anak ini," katanya ketika dihubungi.

Sumbangan boleh dibuat menerusi saluran yang dinyatakan di laman web pusat itu.

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah adalah pertubuhan tanpa keuntungan yang menempatkan 105 penduduk.

Katanya lagi, semua penjaga dan penghuni yang berusia 18 tahun ke atas telah divaksin.

Kajian menunjukkan mereka yang divaksin masih boleh dijangkiti Covid-19 atau menyebarkan virus itu kepada orang lain, tetapi mungkin tidak menunjukkan gejala atau bergejala ringan.

Ini bermakna mereka boleh mendedahkan individu yang tidak divaksin - yang mungkin mengalami gejala lebih serius daripada virus itu - kepada risiko.

Semua penduduk di rumah jagaan di Kepong positif

Penularan di pusat jagaan di Petaling Jaya itu berlaku beberapa minggu selepas semua penghuni di rumah jagaan warga emas di Kepong, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Pengarah Pertubuhan Kebajikan Amal Warga Emas Sejati Kuala Lumpur dan Selangor, turut dikenali sebagai Fu Pin Handicap Centre, berkata kesemua penghuni telah sembuh dan menerima vaksin.

Bagaimnapun, katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, mereka masih berdepan masalah kekurangan sumber tenaga dan dana untuk bekalan, seperti sarung tangan, penyembur nyahjangkit dan vitamin.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Ambank pusat itu (8881041941687) dan resit sumbangan boleh dihantar ke fp.medicare.center@gmail.com untuk tujuan potongan cukai.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kanak-kanak di rumah anak yatim Kajang dalam keadaan terbiar selepas penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Di Johor pula, lebih 60 penghuni, termasuk bayi, di sebuah pusat jagaan dijangkiti wabak itu pada Februari lalu.

Tiada ulasan: