Isnin, 30 Ogos 2021

Tanah Perkuburan Johan Setia kini terima jenazah Covid-19

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang, Klang dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang berikutan ia hampir penuh dan perlu dikhususkan untuk kematian biasa ahli kariah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata walaupun Tanah Perkuburan Selat Klang adalah berkeluasan 11.3 hektar namun tapak yang sudah siap diratakan dan ditambak oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tujuan pengebumian jenazah biasa dan jenazah Covid-19 hanyalah seluas 0.8 hektar.

“Memandangkan tanah berkenaan hampir penuh dan perlu dikhususkan untuk kematian jenazah biasa ahli kariah, maka pengebumian pesakit Covid-19 dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang yang mempunyai tapak seluas 4 hektar yang disediakan untuk menerima jenazah,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai Tanah Perkuburan Selat Klang yang hampir penuh.

Selain itu Mohd Zawawi berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut menambah keperluan tanah perkuburan di setiap daerah yang sehingga 23 Ogos lalu, sebanyak 42 tanah perkuburan dikhususkan sebagai tanah perkuburan jenazah Covid-19 iaitu tujuh tanah perkuburan seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 36 tanah perkuburan kariah.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi memaklumkan individu yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah Covid-19 di hospital seluruh Selangor digesa untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan Jais.

"Saya difahamkan bahawa kes ini berlaku sebelum 25 Ogos lalu, namun jika berlaku lagi, saya minta semua pihak salurkan maklumat kepada Jais. Saya ambil serius mengenai hal ini kerana Jais tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah di hospital," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: