Sabtu, 28 Ogos 2021

UMNO desak kerajaan tubuh RCI siasat Tommy Thomas

(BN BBC) – UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Itu adalah beberapa panduan utama dibincang dan dipersetujui bersama dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berlangsung kira-kira 3 jam yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pertama kali dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan juga mencadangkan supaya kerajaan menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO mendukung penuh pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan akan membantu beliau bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata kerajaan juga hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat wabak COVID-19.

“UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan termasuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti serta campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: