Jumaat, 27 Ogos 2021

‘Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat’

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan timbalan menteri.

Katanya, barisan Kabinet itu telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Beliau menambah, barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Katanya lagi, Kabinet itu perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Pesan saya hanya satu – jalankan tugas yang telah diberikan dengan amanah, demi rakyat dan negara.

“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ketua-ketua parti yang telah memberikan pandangan, sokongan, dan kerjasama dalam pembentukan barisan Kabinet ini,” ujarnya ketika mengumumkan senarai Jemaah Menteri dan timbalan menteri, hari ini.

Beliau berkata, pada Ogos yang bermakna ini, marilah bangkit bersama untuk kembalikan semula sinar kegemilangan Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda, yang akan diadakan pada Isnin ini, jam 2:30 petang, di Istana Negara.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada barisan Kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah. Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: