Ahad, 29 Ogos 2021

2 lelaki menyamar polis untuk samun ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan semalam, kerana disyaki menyamar sebagai polis dan menyamun seorang lelaki di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Taman Melawati dekat Ampang, pada 16 ogos lalu.

Dalam serbuan pada jam 10.30 malam, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek berusia 36 dan 40 tahun di Kampung Klang Gate Baharu, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata turut dirampas beberapa telefon bimbit, topi keledar, barangan dan pakaian berlogo polis, selain dua motosikal Yamaha serta sebuah kereta Proton Perdana.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 19 tahun disamun wang tunai RM700, telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi.

"Sebelum itu, mangsa bekerja sebagai juruwang menunggang motosikal di MRR2 ditahan sebuah lagi motosikal ditunggangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai polis.

"Suspek membuat pemeriksaan pada badan dan beg silang mangsa. Mereka kemudian bertindak mengambil beg silang dan kunci motosikal mangsa yang turut diugut akan dicederakan jika barangannya tidak diserahkan.

"Siasatan mendapati modus operandi suspek melakukan samun dengan menyamar polis dan menyasarkan remaja bersendirian di kawasan sunyi dan kurang tumpuan orang ramai. Suspek akan terus melarikan diri selepas menyamun mangsa," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka penganggur dan mempunyai 30 rekod jenayah termasuk khianat, rusuh, curi kenderaan serta menyamar sebagai polis.

Katanya, ujian saringan air kencing pula mengesahkan mereka positif dadah methamphetamine.

"Penahanan suspek berjaya menyelesaikan satu kes jenayah di Ampang dan empat di Gombak serta Setapak.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dalam mengenal pasti pembabitan suspek lain di Ampang dan kawasan sekitarnya," katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 392 dan 170 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian kepada keselamatan diri dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Mereka yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi samun itu diminta tampil membuat laporan polis untuk membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: