Ahad, 29 Ogos 2021

Tiada maklumat warga Malaysia jadi pejuang Daesh di Afghanistan

Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tidak mempunyai maklumat mengenai penglibatan warga Malaysia dengan aktiviti pejuang Daesh di Afghanistan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, walau bagaimanapun, PDRM telah mengemukakan kepada agensi keselamatan luar negara berkenaan dakwaan dan laporan berkenaan.

Kata beliau, siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilaporkan tersebut melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang sudah berada di luar negara.

“PDRM mengambil maklum terdapat laporan berita mengenai dua rakyat negara ini telah ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, soal siasat sedang dijalankan pihak berkuasa Taliban terhadap dua warga Malaysia yang berjuang bersama IS-K, sebuah sayap kumpulan pengganas Daesh.

Kumpulan itu yang berpangkalam di Afghanistan menyasarkan Taliban dan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS).

Portal berkenaan yang memetik laporan The Times yang berpangkalan di Britain berkata, kedua-dua mereka ditahan bersama empat lagi pejuang IS-K sepanjang pertempuran berbalas tembakan semalam.

Empat daripada mereka adalah warga Afghanistan namun dua lagi seperti warga Malaysia dedah laporan berkenaan.

Tiada ulasan: