Selasa, 31 Ogos 2021

Segala agenda sedia ada di Wilayah Persekutuan diteruskan

 Oleh AMREE AHMAD

Shahidan diiringi timbalannya, Jalaluddin (kiri) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan meneruskan segala agenda yang sedia ada digerakkan kementerian itu demi kesejahteraan 1.6 juta penduduknya.

Beliau malahan memberi jaminan bahawa semua perancangan yang telah disusun sebelum ini oleh penyandang menteri terdahulu, Tan Sri Annuar Musa akan diteruskan seperti biasa.

“Insya-Allah, semua dasar yang sedia ada itu akan diteruskan macam biasa, bahkan kami hadir dalam Kabinet untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersepadu,” jelas beliau selepas hadir melaporkan diri di pejabatnya di kementerian itu di Menara Seri Wilayah, Presint 1, hari ini.

Turut sama ialah timbalan beliau, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu, dan antara muka baharu dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau menegaskan, sepanjang tempoh 100 hari pertama ini, beliau masih menyambung segala polisi yang dirancang dan diperkenalkan oleh Annuar sejak tahun lalu.

“Saya tiada masalah pun dengan beliau yang juga sahabat karib saya sendiri dan dengan sokongan semua pihak, kami akan terus membangunkan Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Ini termasuk pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga, perkhidmatan bas percuma, program perumahan, pembangunan keusahawanan dan sebagainya di bawah slogan Wilayah Prihatin. – K! ONLINE

Tiada ulasan: