GEORGETOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru dilantik, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memastikan dasar pembangunan sosio-ekonomi yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang adalah adil dan seimbang.
Pengerusinya, Datuk Dr Muhamad Farid Saad, berkata pertubuhan itu memohon kepada Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas (Pulau Pinang), untuk memastikan kepentingan masyarakat Bumiputera juga diambil kira.
Muhamad Farid berkata, ini termasuk isu berkaitan pemilikan rumah Bumiputera dan kesan daripada program Malaysia My Second Home (MM2H) yang mana pihaknya berpendapat program itu haruslah diperketatkan lagi syaratnya demi kepentingan semua pihak.
Teknologi seperti Sistem Bangunan Industri (IBS) dan inisiatif pemilikan perumahan kepada Bumiputera di Pulau Pinang terutama bagi golongan belia, harus ditambah baik selari dengan Dasar Perumahan Negara.
Pulau Pinang juga adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang keseluruhan negeri adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya.
"Sehubungan itu, kawasan kampung seharusnya dilengkapkan dengan kemudahan prasarana lengkap, moden dan mencukupi sepertimana kawasan bandar raya ini tanpa mengganggu kedamaian kampung tradisi.
"Kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan sawah dan hijau tidak dibiarkan dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan sewenangnya mengikut kehendak pemaju tanpa memikirkan kelangsungan kehidupan di sana," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan