Guru perlu miliki minda dan jiwa merdeka untuk bina generasi merdeka
SALAM kemerdekaan, salam perjuangan buat semua wira-wira watan.
Alhamdulillah, tahun ini merupakan kali ke-64 kita menyambut kemerdekaaan. ‘Malaysia Prihatin’ merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Tema ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan bahawa seluruh rakyat Malaysia sama-sama cakna dan prihatin melawan musuh yang kita pada masa kini iaitu virus COVID-19 .
Sambutan kemerdekaan adalah saat terbaik untuk kita merenung dan merayakan sumbangan para guru dalam sejarah bangsa kita – bangsa Malaysia. Di tangan para guru ini lahir angkatan anak muda yang merupakan teras kepada kebangkitan nasionalisme di negara ini, namun fakta jarang sekali kita angkat
Sejarah kemerdekaan tidak dilatari dengan perjuangan tokoh politik semata-mata, tetapi para guru khususnya guru-guru Melayu untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Lahirnya Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), Persatuan Guru Melayu Perak, Persatuan Guru Melayu Pulau Pinang, Persatuan Guru Melayu Kedah adalah benteng mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu dan kumpulan pendesak kepada gerakan penjajah dan elit melayu keinggerisan.
Kewujudan SITC sebagai institusi yang melatih bakal guru telah menjadi markas kebangkitan semangat nasionalisme. Memetik kata-kata O.T Dussek kepada pelajarnya :
“Bahasa kamu saya percaya, diucapkan satu dari rumpun-rumpun bahasa terbesar dunia ini. Jangan lupakan hakikat itu. Pelihara bahasa kamu itu, berusahalah meninggikannya ke taraf yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila martabat bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah martabat bangsa kamu” (The Straits Times 23 November 1935)
Kata-kata peransang dari Dussek ini telah memberangsangkan semangat para guru Melayu yang menerima latihan perguruan di institut ini bangkit berjuang mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu. Nama-nama seperti Cikgu Mohamad Nor Ahmad, Cikgu Muhammad Darus Abdul Rahman, Cikgu Saleh Ibrahim, Cikgu Othman, Cikgu Che Tom adalah pejuang tegar yang menyuarakan isu-isu bahasa, nasib guru Melayu dan pendidikan anak-anak Melayu.
Sebuah lagi institusi yang menyumbang kepada gerakan kesedaran dalam khususnya kalangan anak muda ialah Maahad Il- Ehya Assyarif Gunung Semanggul (Miagus) yang memiliki tingkat kesedaran politik yang tinggi.
Sesungguhnya SITC dan Miagus telah menjadi almameter gerakan kebangkitan menentang penjajahan British. Gerakan perjuangan guru-guru Melayu dan tokoh ulama yang mendidik generasi muda ketika itu telah melahirkan pejuang tulen kemerdekaan.
Hari ini kita perlu mengenang jasa para guru dan para ulama dalam babak-babak perjuangan kemerdekaan. Mereka telah berjaya membina generasi kalis penjajahan sehingga benteng akidah dan identiti watan terjaga dan terpelihara. Namun musuh tidak sekadar meninggalkan negara kita begitu sahaja tetapi melahirkan benih-benih generasi yang berkulit melayu tetapi otak dan minda keinggerisan. Perjuangan membina jati diri bangsa masih panjang dan berliku.
Kini, kita berdepan ancaman penjajahan COVID-19, warga guru perlu memiliki minda dan jiwa merdeka demi membina generasi merdeka. Setiap kita perlu memerdekakan akal kita melalui penerokaan ilmu dengan semangat keberanian dan keperwiraan.
Para guru perlu berani mempelajari dan mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran demi membebaskan generasi dari keciciran pendidikan. Tanpa kita memerdekaan akal dan jiwa kita, bangsa akan menjadi mundur dan terdedah kepada penjajahan norma baharu. Amat wajar kita menjadikan pendidikan sebagai senjata ampuh untuk melawan penjajah baharu atas nama COVID-19.
Ayuh bersama-sama kita selamatkan generasi , mari kita basmi kejahilan dan kemiskinan dengan kreativiti, inovasi dan reformasi pendidikan.
Jalur Gemilang berkibar megah,
Simbol perpaduan seluruh negara,
Malaysia bebas dari dijajah,
Semoga negara aman sentiasa.
Pelbagai bangsa pelbagai budaya,
Perpaduan rakyat teras utama,
Rakyat bersatu negara berjaya,
Malaysia prihatin aman sejahtera.
(*) Ustaz Mohd Azizee Hasan. Presiden i-Guru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan