KUALA LUMPUR: Hanya dengan menanda (tag) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial, seorang usahawan kosmetik terkenal akan dipanggil polis bagi membantu siasatan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menikmati durian bersama beberapa individu lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata tangkap layar siaran secara langsung itu dikesan ditularkan seorang pengguna media sosial, kira-kira jam 1.10 tengah hari, semalam.
“Tangkap layar itu dikongsi lebih 4,000 kali di media sosial berkenaan bersama komen netizen yang turut menanda (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik terbabit.
“Pada jam 4 petang tadi, kita terima satu laporan polis berkaitan gambar tangkap layar itu dan siasatan mendapati usahawan kosmetik berkenaan seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, gambar tangkap layar yang tular itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan usahawan kosmetik itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
“Kita sudah menjalankan siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Usahawan kosmetik itu akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Susulan itu, Ku Mashariman berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP PPN Fasa 1 yang ditetapkan kerajaan, selain berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan