Isnin, 30 Ogos 2021

‘Jika ambil vaksin, jatuh talak’, isteri dalam dilema

Oleh Metra Syahril Mohamed

PERSOALAN seorang isteri mengenai pengambilan vaksin dan jatuh talak yang dikongsikan seorang peguam syarie di Twitter.

PETALING JAYA: Laman Facebook Public Health Malaysia, sebuah platform menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam, menarik perhatian umum mengenai perkongsian seorang peguam syarie di Twitter.

Peguam tersebut berkongsikan kisah mengenai seorang isteri yang telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19 secara ‘senyap-senyap’.

Ini kerana suaminya tak mahu mengambil vaksin berkenaan dan kebetulan mereka merupakan pasangan jarak jauh.

Namun si isteri dalam dilema apabila ketika berborak dengan suaminya mengenai vaksin, si suami berkata jangan ambil vaksin.

Si suami pula menambah: “Jika ambil juga, jatuh talak”.

Perkara itu membuatkan si isteri bingung dan mengajukan persoalan tersebut kepada peguam syarie.

Peguam berkenaan dalam akaun Twitter miliknya pula menulis: “Ragam manusia, aneh-aneh nak buat taklik pun. Ini mungkin kedengaran jangkal, tapi tak mustahil ada juga orang lain hadapi perkara yang sama. Nasi sudah menjadi bubur, lafaz taklik tak boleh ditarik balik sehinggalah berlaku perlanggaran. Bila dah langgar, segeralah ke mahkamah syariah;

“Failkan permohonan pengesahan lafaz taklik. Sekali lagi saya tegaskan, hanya Hakim Syarie sahaja yang boleh sabitkan sama ada jatuh talak ataupun tidak”.

Beliau kemudiannya menulis: “Hati-hatilah para suami dalam soal taklik ini. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna”.

Tiada ulasan: