Isnin, 9 Ogos 2021

Kelonggaran kerajaan diharap kurangkan tekanan emosi rakyat

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik langkah yang diambil kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara, termasuklah kelonggaran yang diberikan ke atas penerima lengkap dos vaksin wabak berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada rakyat, namun penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat masih perlu menjadi keutamaan.

“Sebagaimana yang diumum Perdana Menteri, kerajaan sangat berhati-hati sewaktu membuat keputusan ini, namun kelonggaran ini untuk mengurangkan tekanan emosi dan minda rakyat yang telah lama berada dalam PKP,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya juga sentiasa bersedia membantu menjayakan proses vaksinasi yang sedang giat dilaksanakan ketika ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19, membabitkan aktiviti rentas daerah dan negeri, ekonomi dan sosial.

Antaranya, penerima lengkap vaksin boleh menunaikan solat jemaah di masjid serta aktiviti di rumah ibadat lain, selain mereka yang menetap di negeri fasa dua dan ke atas boleh makan di restoran serta melakukan perjalanan rentas daerah bermula Selasa ini.

Aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: