Isnin, 9 Ogos 2021

Imarahkan semula masjid, surau

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: PAS meminta umat Islam di negeri ini memanfaatkan sepenuhnya kebenaran kerajaan kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin untuk menunaikan solat di surau dan masjid bermula esok.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob, berkata keputusan itu pasti memberi khabar gembira kepada mereka yang sudah lama merindui rumah Allah.

Sehubungan itu, katanya umat Islam perlu memanfaatkan peluang ini dengan mengimarahkan semula masjid dan surau melalui aktiviti solat berjemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Masjid dan surau adalah tempat untuk mendapatkan kerahmatan dan mendekatkan diri kepada Allah, terutama ketika penularan wabak Covid-19 yang semakin mengganas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Idris berkata, umat Islam sebagai hamba Allah perlu sentiasa berdoa dan bermunajat supaya virus penyakit berjangkit ini dapat dihapuskan dan kehidupan manusia kembali seperti sedia kala.

“Melalui ujian ini, Allah mahu mengajar manusia erti kesabaran dan supaya kita sedar bahawa tiada tempat pergantungan yang lain melainkan Allah.

“Marilah kita bermuhasabah menilai diri, sejauh manakah  kita benar-benar menjadi hamba Allah yang beriman, bertakwa dan mematuhi syariat-Nya dalam seluruh kehidupan dari sekecil perkara sehinggalah sebesar perkara,” katanya..

Kelonggaran untuk menunaikan solat di masjid dan surau, terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Perdana Menteri berkata, kebenaran itu hanya untuk mereka yang sudah dua minggu atau 14 hari selesai melengkapkan vaksin Sinovac, Pfizer atau AstraZeneca atau selepas 28 hari selesai menerima vaksin satu dos, Johnson & Johnson dan CanSino. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: