Isnin, 9 Ogos 2021

Industri pelancongan domestik rancak semula – MATA

HARAKAH DAILY
Foto daripada Facebook Amazing Terengganu.

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyifatkan keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap dos vaksin Covid-19 dapat merancakkan semula industri pelancongan.

Sehubungan itu MATA merakam ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang berusaha memastikan semua pihak dalam sektor pelancongan supaya divaksinasi segera.

Presiden MATA Dato’ Mohd Khalid Harun berkata, pengumuman kerajaan membolehkan industri pelancongan domestik berkembang semula.

Katanya, langkah kerajaan itu akan dapat meningkatkan pendapatan penduduk yang bidang terbabit dalam sektor pelancongan.

“MATA berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membenarkan individu sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 merentas bagi tujuan pelancongan domestik.

“Bagi ahli-ahli kami terutamanya hotel dan homestay, ia sudah tentu menjadi berita amat gembira bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan memberi kelonggaran aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama membabitkan enap desa dan hotel bagi individu menerima vaksin lengkap berkuat kuasa esok.

Mohd Khalid turut menyarankan ahli-ahlinya memastikan kesemua pekerja mereka melengkapi dua dos vaksin Covid-19.

“MATA berharap semua ahli hendaklah memastikan setiap pengungjung dan pekerja mematuhi sepenuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: