Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu semua pihak tanpa mengira mana-mana parti politk, bersatu dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pandemik COVID-19.
Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata pihaknya percaya jalan penyelesaian kepada penyakit itu adalah dengan terus meningkatkan kadar vaksinasi.
Ketika ini kadar vaksinisasi bagi dos kedua masih jauh lagi untuk menjangkau kepada jumlah 50 peratus.
"Justeru MBM berharap buat sementara waktu, semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing supaya berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha yang kita semua percaya iaitu 'exit door' kepada penyakit ini iaitu suntikan vaksinisasi," katanya dalam kenyataan.
Jufitri berkata, dengan kadar vaksinisasi dos kedua yang masih jauh ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, MBM menyifatkan ini bukan waktu yang sesuai untuk meneruskan perbalahan politik.
"MBM yang berdiri teguh bersama rakyat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, menggesa dengan tegas supaya pemimpin politik simpati dengan nasib rakyat. Pemimpin politik juga sepatutnya memberikan tumpuan penuh kepada pemulihan negara hingga keadaan reda.
"Jika keadaan reda, boleh adakan pilihan raya bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil. Sekarang ini berhenti jadikan COVID-19 sebagai alat politik," katanya.
Sementara itu katanya, teguran daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kepada pemimpin politik perlu diambil peduli.
"Teguran daripada kedua-dua baginda seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan