Antara Geng Acoi yang ditahan polis. NSTP/Ihsan Polis
KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita disyaki ahli Geng Acoi, yang aktif samun berkumpulan menggunakan parang di sekitar daerah Ampang Jaya, di sini, minggu lalu.
Ahli kumpulan itu yang tinggal di kawasan Selayang dan Gombak, bergerak menggunakan motosikal ke kawasan Ampang Jaya untuk melakukan kegiatan jenayah dan menyasarkan mangsa yang berjalan kaki berseorangan.
Modus operandi suspek adalah bertindak menggunakan parang dengan menakutkan mangsa lalu merampas barang berharga seperti dompet, beg galas, wang tunai, telefon bimbit serta barang kemas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata akhir Julai lalu sehingga 2 Ogos, pihaknya menerima aduan berhubung enam kes samun berkawan di sekitar daerah pentadbirannya yang dikategorikan amat membimbangkan.
"Berikutan laporan mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya, menubuhkan satu pasukan khas dan melancarkan operasi memburu suspek berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sebelum menyerbu lima lokasi berbeza bermula 3 Ogos hingga 6 Ogos lalu di sekitar Selayang dan Gombak.
"Hasil serbuan, kami menahan semua suspek berusia antara 21 hingga 35 tahun serta merampas 74 telefon bimbit, tiga unit komputer riba dipercayai hasil samun selain merampas tiga bilah parang, empat bilah pedang, dua pisau lipat, tiga pisau, satu bilah kapak serta enam buah motosikal yang digunakan semasa melakukan samun," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, siasatan lanjut mendapati tujuh daripada suspek memiliki rekod jenayah dan dadah manakala seorang mempunyai rekod dikehendaki polis bagi siasatan kes dadah dan jenayah komersial.
"Ujian air kencing juga mengesahkan enam daripada suspek positif dadah syabu dan kesemua mereka kini direman 14 hari.
"Susulan kejayaan ini, Polis Daerah Ampang Jaya yakin dapat menyelesaikan tujuh kes samun berkumpulan dengan senjata membabitkan enam di daerah Ampang Jaya dan satu di daerah Gombak namun kami yakin masih ada mangsa belum tampil membuat laporan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan