Khamis, 12 Ogos 2021

Pemimpin politik wajar ambil berat titah Raja-Raja Melayu

Oleh Suzalina Halid
IPTI meminta semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat ketika penularan COVID-19 semakin membimbangkan. - Foto BERNAMA
IPTI meminta semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat ketika penularan COVID-19 semakin membimbangkan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI) menggesa semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat ketika penularan COVID-19 semakin membimbangkan.

Timbalan Presidennya, Ismail Mina Ahmad, berkata gesaan itu selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah sempena menyambut Maal Hijrah 1443, baru-baru ini.

Beliau juga mengharapkan semua pihak wajib menerima panduan dan nasihat melalui titah berkenaan dengan hati yang terbuka.

"Semua pihak, terutama pemimpin politik harus menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat yang amat mendukacitakan.

"Selain memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang membimbangkan, kekusutan isu politik yang semakin berlarutan boleh mengakibatkan ketidakstabilan negara yang lebih teruk.

"Justeru, panduan dan nasihat Raja-Raja Melayu yang memberi kesan signifikan itu wajib dihayati dengan semangat Hijrah dan dibuktikan secara konkrit dalam tindakan kearifan politik maslahah masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui titah Sultan Ibrahim dan Tengku Hassanal, antara inti signifikan dan ucapan yang berasingan itu adalah panduan dan nasihat kepada semua pemimpin politik supaya mengutamakan perpaduan ummah.

Selain itu, baginda berdua turut menasihati pemimpin politik supaya menjaga kestabilan sosiopolitik negara dan bukannya masa untuk bertelagah serta berebut kuasa, tetapi bersatu dalam membantu rakyat.

Sultan Johor turut meluahkan perasaan kecewa baginda berkaitan situasi perebutan kuasa politik semasa.

Ismail Mina berkata, semua pemimpin politik perlu menghayati jiwa Hijrah dengan memberhentikan segera perbalahan dan tindakan perebutan kuasa politik ketika masyarakat dan negara sedang berada di dalam keadaan luar biasa.

"Dalam keadaan ketika ini ia memerlukan tindakan luar biasa daripada semua pihak, terutama pemimpin politik yang kelihatan semakin ghairah dan agresif untuk menguasai koridor kekuasaan.

"Amalan dan tindakan politik demokrasi dalam norma biasa harus digantikan dengan kaedah kewajipan semasa, justeru IPTI mengharapkan semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dengan menahan sifat amarah masing-masing.

"Mereka perlu menjana sifat sabar yang luar biasa dalam keadaan yang luar biasa seperti sekarang ini, selain perlu memberhentikan segera segala pergelutan dan perlakuan bersengketa seperti nasihat dan titah Raja-Raja Melayu itu," katanya.

Katanya, gencatan senjata politik perlu diadakan bagi menjernihkan keadaan yang sudahpun keruh serta mendukacitakan itu.

"Semua pihak, terutama pemimpin politik perlu berganding bahu dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mengurus masyarakat dan negara untuk keluar daripada keadaan ketidakseimbangan sosioekonomi ini," katanya.

Tiada ulasan: