Khamis, 19 Ogos 2021

Ahli Parlimen PH tak terima undangan menghadap Agong

Tiada undangan diterima Ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk menghadap 
Agong di Istana Negara hari ini.

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak menerima undangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara hari ini.

“Setakat ini tiada, kita tidak terima apa-apa jemputan,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT.

Sejumlah 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri ke-9 dipanggil ke Istana Negara hari ini untuk mengesahkan sokongan mereka.

Perjumpaan antara Istana Negara dengan Ahli Parlimen yang menyokong Ismail dijadual berlangsung sehingga 5 petang ini.

Lewat malam tadi, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, semua Ahli Parlimen berkenaan akan hadir membuat pengesahan di Istana Negara dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan menaiki lima bas sewa khas.

“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk membuat pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Ini bererti Ismail Sabri adalah calon PM yang menang,” katanya dalam kenyataan.

Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sepakat menamakan Ismail yang juga naib presiden Umno sebagai calon tunggal perdana menteri mereka.

Manakala Pakatan Harapan (PH) dan Warisan sebulat suara menamakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon gabungan itu.

Tiada ulasan: