PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan “Jemaah Menteri perang” dibentuk jika hanya ada dua calon perdana menteri.
Beliau berkata, salah seorang calon boleh menjadi perdana menteri dan seorang lagi sebagai timbalannya.
Katanya, mereka boleh menggabungkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa 18 bulan.
Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, “Jemaah Menteri perang” berkenaan patut mencerminkan perpaduan Parlimen dan membawa dasar-dasar dan strategi baharu demi mengembalikan harapan, keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat”.
Menyebut rekod 22,242 jangkitan Covid-19 baharu semalam, Lim berkata, ini adalah “masa yang paling kelam dalam sejarah negara”.
“Kita perlu menghentikan pendarahan negara kita ini dan mencari penyelesaiannya – dan sebuah Jemaah Menteri perang dan Parlimen perang adalah salah satu penyelesaian kepada masalah seperti ini,” tambahnya.
Beliau berkata, “Parlimen perang” ini perlu membentuk perpaduan negara dengan Ahli Parlimen memainkan peranan dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan sahaja untuk memerangi wabak, malah untuk menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan.
“Jemaah Menteri perang dan Parlimen perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem monarki berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan penghormatan kepada hak asasi manusia,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan