Khamis, 19 Ogos 2021

Najib kembali hadapi perbicaraan 1MDB selepas jumpa Agong

(Gambar Facebook Najib Razak)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan beliau akan kembali kepada perbicaraan kes mahkamah berkait dakwaan penyelewengan dana 1MDB yang sepatutnya dihadiri pagi tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu baru selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengesahkan calon perdana menteri yang disokongnya.

“Saya jalankan tanggungjawab bagi segala urusan sebaik mungkin. Urusan rasmi pagi tadi. Mengadap Yang di-Pertuan Agong bersama Ahli-ahli Parlimen.

“Beri saya sedikit masa alas perut. Saya akan kembali untuk urusan mahkamah sebentar lagi,” katanya di Facebook.

Awal hari ini, peguam Najib, Rahmat Hazlan, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa anak guamnya tidak dapat hadir pada perbicaraan memandangkan beliau ke Istana Negara menghadap Agong bersama Ahli Parlimen lain.

“Kami tidak pasti pukul berapa anak guam saya dijadualkan menghadap Agong, tetapi beliau bertolak dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 10.30 pagi,” kata Rahmat.

Mendengar penjelasan itu, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, yang kelihatan agak marah, menegaskan agar perbicaraan kes itu tetap diteruskan, lapor Bernama.

“Beliau (Najib) sepatutnya hadir ke sini terlebih dahulu. Mengikut laporan berita yang saya baca, pertemuan dengan Agong akan berlangsung secara berperingkat-peringkat,” katanya.

“Prosiding sedang berjalan. Saya akan kembali dalam tempoh 10 minit dan saya ingin tahu secara tepat pukul berapa beliau akan menghadap Agong. Setelah selesai, beliau perlu kembali ke sini agar prosiding dapat diteruskan. Saya mungkin tidak akan berhenti (perbicaraan) pada 4 petang hari ini.”

Setelah berehat seketika, Rahmat sekali lagi memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengemas kini mengenai keberadaan Najib setelah memperoleh maklumat terkini daripada pegawai-pegawainya.

Sequerah berkata, Najib perlu memberikan komitmen akan hadir pada waktu tertentu kerana prosiding perlu diteruskan pada 2.30 petang.

“Tolong beritahu saya kerana saya tetap akan meneruskan perbicaraan, tidak kira apa yang terjadi. Maka bersedia untuk perbicaraan yang panjang kerana kita telah membazirkan banyak (masa).”

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Tiada ulasan: