Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN: Simpati dengan nasib pihak yang hilang pendapatan berikutan pandemik Covid-19, seorang suri rumah berkongsi rezeki dengan mewujudkan ‘bank makanan’ di depan rumah ibunya di Taman Balok Permai, di sini.
Ibu kepada empat anak, Azra Abdullah, 36, meletakkan rak yang berisi pelbagai barangan keperluan harian di depan pintu pagar rumahnya sejak tiga hari lalu untuk diambil mereka yang memerlukannya.
Azra berkata, dia terkesan melihat ramai penjaja berdekatan rumahnya hilang pendapatan apabila tidak dapat berniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sekatan pergerakan menyeluruh.
“Saya pernah hidup susah sebelum ini, jadi faham dengan keadaan itu. Bagi sesetengah pihak mungkin ada simpanan namun terpaksa digunakan untuk perkara lain dan terpaksa berkira-kira untuk membeli barang makanan.
“Kalau hendak agihkan barang keperluan ini dari rumah ke rumah adalah tidak sesuai dalam keadaan sekarang, jadi saya mengambil inisiatif seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Azra, pada peringkat permulaan dia menggunakan wang sendiri membeli semua barang keperluan untuk disedekahkan namun selepas itu ada rakan yang turut menghulurkan sumbangan.
“Paling mengharukan apabila anak saya yang berusia 10 dan 12 tahun turut menyumbang duit raya mereka untuk membeli barangan ini.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila semua barang yang diletakkan setiap hari habis dan saya akan meneruskan usaha ini selagi dirasakan perlu,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment