PETALING JAYA: Sepuluh mat rempit ditahan dan dikenakan kompaun dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Grand Saga, Kajang di sini awal pagi tadi.
Kesemua individu berusia antara 17 hingga 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman dalam operasi bermula pukul 4 petang semalam hingga 8.30 pagi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya seperti zig-zag, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.
“Semua suspek berkenaan turut dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul, berlumba dan melakukan aktiviti tanpa sebab munasabah.
“Tindakan kompaun itu diambil mengikut Perkara 4 dan 5 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Nadzri, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujarnya, beberapa motosikal jenis Yamaha 15ZR dan Yamaha 135LC yang ditunggang suspek turut disita pihak polis.-UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment