Wednesday, June 9, 2021

Kadar pengangguran catat penurunan pada April 2021

 azleensafina

742,000 orang pengganggur direkod pada bulan sama

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran di Malaysia bagi April 2021 merekodkan penurunan kepada 4.6 peratus atau pengurangan seramai 10,500 orang, iaitu kadar yang terendah sejak Oktober 2020, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, pengurangan 0.1 mata itu menjadikan jumlah penganggur kini seramai  742,700 orang berbanding 753,200 pada Mac tahun ini.

Jelas beliau, penurunan itu berikutan situasi tenaga buruh Malaysia pada April 2021 terus berada di landasan pemulihan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat (PKPB) di kebanyakan tempat, membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan meneruskan aktiviti dalam kapasiti penuh dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Prospek perniagaan yang lebih baik turut digambarkan melalui prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi Mac 2021 yang  mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus bulan ke bulan (Februari 2021: 1.1%).

“Justeru, bilangan tenaga buruh pada April 2021 mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus (12,200 orang) merekodkan 16.09 juta orang (Mac 2021: 16.08 juta orang), manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi bulan tersebut kekal pada 68.6 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia April 2021 hari ini.

Komposisi penganggur aktif (mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan) yang merangkumi lebih 80 peratus daripada jumlah penganggur, telah berkurang kepada 618,700 orang berbanding Mac (626,900).

“Daripada keseluruhan penganggur yang aktif, sebanyak 52.1 peratus adalah penganggur yang menganggur kurang daripada tiga bulan.

“Kumpulan yang tidak aktif di luar tenaga buruh mencatatkan peningkatan sebanyak 13,100 orang kepada 7.38 juta bagi tempoh sama, yang didominasi kategori bersekolah atau latihan dengan 43.5 peratus (3.21 juta orang) diikuti kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan 42.1 peratus (3.10 juta orang),” katanya.

Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja kekal dalam trend menaik dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 22,700 orang kepada 15.35 juta orang, sementara nisbah guna tenaga kepada penduduk pada bulan sama, menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga kekal pada kadar 65.4 peratus.

Pada April, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan mencatatkan trend meningkat meliputi aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; pendidikan; serta kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

“Trend yang sama juga turut dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan, manakala sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian terus mencatatkan momentum negatif bulan ke bulan,” katanya.

Beliau menjelaskan, komposisi penduduk bekerja sendiri merekodkan pertambahan sebanyak 12,300 orang kepada 2.49 juta orang pada April berikutan operasi berterusan perniagaan kecil pada bulan tersebut.

Di samping itu, katanya, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu kekal dalam trend menurun dengan pengurangan sebanyak 5,000 kepada 116,000 ribu orang.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan itu berkata, krisis kesihatan awam di Malaysia pada Mei 2021 semakin mencabar dengan pertambahan mendadak jumlah kes COVID-19 dan pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun menyaksikan penutupan penuh semua sektor ekonomi dan sosial kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu.

Berikutan senario itu, kedudukan pasaran buruh dijangka sekali lagi berdepan situasi yang mencabar bagi beberapa bulan ke hadapan namun pelbagai bantuan oleh kerajaan dijangka dapat mengurangkan impak dan seterusnya memulihkan kedudukan pasaran buruh, katanya. -Bernama

No comments: