Bernama
Bagi
mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu dikebumi atau
dibakar dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa dua hingga tiga
jam berbanding kes bukan COVID-19 iaitu 45 minit hingga sejam. -Gambar
fail
KUALA LUMPUR:
Kadar kematian akibat COVID-19 yang tinggi di Malaysia akhir-akhir ini
bukan hanya meruntun jiwa banyak pihak, tetapi turut menyebabkan
Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir apabila
mengalami masalah tunggakan dalam pengurusan mayat akibat wabak itu dan
kes kematian bukan COVID-19.
Berbeza
dengan pengurusan jenazah bukan COVID-19, pengurusan kes kematian
COVID-19 perlu dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan
hadapan dan disegerakan untuk dikebumikan bagi yang beragama Islam atau
dibakar bagi bukan Islam.
Pakar
Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Salmah Arshad berkata
peti simpanan mayat sedia ada di IPFN kini tidak mencukupi dan mangsa
kematian kini diletakkan di dalam kontena yang boleh memuatkan antara 12
hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter (20 kaki) sementara
menunggu giliran untuk diuruskan.
"IPFN
ada 36 peti simpanan mayat, tapi kami memantau atau mempunyai tempat
simpanan lain contohnya 10 peti di Hospital Tunku Azizah, Hospital
Angkatan Tentera Tuanku Mizan ada empat, dua di Insitut Kanser Negara.
Jumlahnya 52 peti simpanan mayat dan kita ada back-up kontena untuk
menyimpan mayat.
"Bagi mayat yang
dibakar, ia bergantung kepada krematorium. Untuk di Lembah Klang ada
satu sahaja lokasi iaitu yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Satu oven hanya untuk satu mayat.
"DBKL juga memberi khidmat pembakaran mayat bukan COVID-19 jadi terpaksa menunggu giliran," katanya kepada Bernama.
Menurut
Dr Salmah bagi mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu
dikebumi atau dibakar dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa
dua hingga tiga jam berbanding kes bukan COVID-19 iaitu 45 minit hingga
sejam.
Doktor pakar berusia 41 tahun yang
sudah 13 tahun berkhidmat dalam bidang forensik itu berkata peningkatan
jumlah kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) melibatkan wabak
itu semakin merunsingkan.
Beliau berkata
ketika gelombang pertama pandemik itu, kematian COVID-19 di luar wad
hanya satu atau dua kes sahaja sebulan berbanding kini yang mencecah
tiga atau empat kes seumpamanya dalam sehari.
"Berbanding
tahun lepas, kita jarang menerima kes (mati) di rumah, (sebaliknya)
kita dapat kes di hospital. Maksudnya pesakit dimasukkan di wad, dirawat
dan mati di hospital.
"Yang merunsingkan
sekarang ialah kematian di luar hospital, yang tak sempat dirawat.
Simptomnya terlalu cepat dan ini menyedihkan.
"Sememangnya
terdapat perubahan... dulu memang kita jangka kematian melibatkan
pesakit yang berusia dan ada penyakit seperti jantung, buah pinggang dan
obesiti.
"Itu faktor-faktor yang menyumbang kepada risiko kematian pada tahun lepas, iaitu pada gelombang pertama.
"Gelombang
ketiga kita tak dapat jangka sebab tak mengira usia, ada yang muda dan
berusia. Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah umur
20-an dan tiada penyakit.
"Kini semua
kena berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana
semua boleh terdedah dan mati kerana COVID-19," katanya dan menasihati
rakyat agar berjaga-jaga meskipun dengan jiran sebelah.
Beliau
tidak menolak kemungkinan mutasi pada varian virus itu menyumbang
kepada perubahan kategori mangsa yang diserang, termasuk golongan muda
yang tiada sejarah masalah kesihatan.
Mengenai
proses bedah siasat membabitkan kes BID COVID-19 atau disyaki COVID-19,
Dr Salmah yang mula berkhidmat di HKL sejak awal tahun lepas berkata
kaedah 'CT (computed tomography) scanning' digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas.
Kaedah
itu bagi mengesan keadaan paru-paru dan organ lain si mati seperti
jangkitan kuman paru-paru atau pneumonia tanpa perlu membedah mayat
seperti prosedur biasa.
"Kita buat external sahaja. Post-mortem CT scan
untuk kita tengok keadaan paru-paru atau organ lain. Adakah paru-paru
ini menunjukkan jangkitan kuman teruk atau pneumonia disebabkan
COVID-19?
"Jadi kita boleh letakkan sebab kematian sebagai 'COVID pneumonia' atau 'pneumonia due to COVID'," katanya.
Sementara
itu, Penolong Pegawai Perubatan IPFN HKL Hisham Mohd Nordin menjelaskan
proses pembakaran mayat COVID-19 bertambah sekali ganda daripada
kebiasaan kerana ia dibakar bersama dua lapisan beg mayat yang diperbuat
daripada plastik tebal yang berketumpatan tinggi.
Hampir
empat tahun berkhidmat di Jabatan Forensik, beliau bertanggungjawab
menguruskan mayat di situ dan berkongsi antara situasi tragis akibat
COVID-19, ialah seandainya seseorang itu meninggal akibat wabak itu
tiada keluarga terdekat untuk memberi penghormatan terakhir buat si mati
kerana dalam kebanyakan kes kesemuanya sedang menjalani kuarantin
susulan menjadi kontak rapat mangsa.
"Kebanyakan keluarga (tinggal bersama) semua kuarantin. Sangat sedih bila waris tak dapat menatap si mati buat kali terakhir.
"Pihak
kami guna budi bicara bersama inspektor kesihatan untuk pujuk waris
hantar wakil terdekat (yang bukan kontak rapat) untuk uruskan jenazah.
"Keadaan petugas di sini kami semua amat letih. Ada ketikanya satu malam 15 kes.
"Nasihat
saya, ikutlah langkah-langkah pencegahan dan patuhi SOP. Bila kerajaan
saran ambil vaksin, ambil lah... Kita nak capai imuniti berkelompok,"
katanya.
Beliau berkata orang ramai
hendaklah bersama-sama membantu semua petugas barisan hadapan bukan
sahaja daripada Jabatan Forensik tetapi juga di wad hospital terutamanya
di Unit Rawatan Rapi dengan mematuhi SOP dan melakukan kawalan kendiri.
Bagi
mengikuti temu bual bersama Dr Salmah dan mengetahui pengurusan jenazah
COVID-19, saksikan dokumentari siri kedua 'Gelombang Kembali: Bilakan
Berakhir?' terbitan Bernama TV yang akan bersiaran pada Jumaat pukul 8.30 malam.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment