Oleh NORLIA RAMLI
SIK: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun ditemukan meninggal dunia di kebun pisang miliknya di Kampung KEDA Sungai Semiar, Jeneri, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa, Kamaludin Safei yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kuari batu di sini ditemukan mati pada pukul 11.04 pagi.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di Taman Sejahtera, Begia di sini dilaporkan pergi ke kebun tersebut pada pukul 5.30 petang semalam.
Bagaimanapun, katanya, warga emas itu tidak pulang ke rumahnya sehingga pukul 9 pagi, hari ini.
“Anak mangsa, Mohd. Azri, 26, mencari bapanya di kebun tersebut dan menemukan bapanya dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri.
“Selepas diperiksa, Mohd. Azri mendapati bapanya meninggal dunia,” katanya.
Beliau memberitahu, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kematian tersebut.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dekat sini untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan