Isnin, 17 Mei 2021

Lagi PKPD di beberapa lokaliti di Pahang, Kedah

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Sejumlah lokaliti di Pahang dan Kedah bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak yang bermula lusa sehingga 31 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah di Ulu Lepar, Mukim Gali, Daerah Raub, Pahang setelah lapan kes positif Covid-19 direkodkan dan berlaku peningkatan ketara dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti itu.

Turut dikenakan PKPD untuk jangka masa yang sama, jelas beliau, ialah beberapa lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, terletak di Mukim Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah melibatkan Taman Mahsuri 2A, 2B dan 2C, Pusat Perniagaan Bandar Darat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung serta Darul Aman.

“Sehingga kini, sejumlah 94 kes disahkan positif wabak itu daripada sebanyak 207 ujian saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan di lokaliti terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PKPD di baki tiga lokaliti di Genting Highlands, Daerah Bentong, Pahang yang sepatutnya tamat 23 Mei depan berakhir lebih awal hari ini iaitu di Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar.

Ismail sabri memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ketiga Aidilfitri di seluruh negara semalam menyaksikan kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) terus naik dengan 639 individu ditahan semalam berbanding 551 individu dicekup kelmarin.

“Daripada jumlah itu, 586 dikompaun manakala 53 lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis,” katanya.

Kes tersebut ujarnya, malah mencatatkan lonjakan kepada 152 kes diikuti tidak patuh arahan PKP (109), tiada pelitup muka (103), gagal jarak fizikal (100) dan aktiviti pusat hiburan (25) selain kegiatan perjudian (12), di samping rentas kawasan tanpa kebenaran (11) dan pelbagai kes ingkar yang lain sebanyak 127.

“Seramai lima pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan dua kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng selain sebanyak 76 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 589 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan kuarantin manakala 7,740 individu masih lagi menjalani proses kuarantin. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: