Rabu, 19 Mei 2021

USIM tangguh pergerakan pelajar kembali ke kampus

Oleh NUR SHAFAWATI YUP
 
KUMPULAN pelajar USIM ketika pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri baru-baru ini.-FOT0/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

SEREMBAN: Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) menangguhkan semua pergerakan pelajar untuk kembali ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidilfitri susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam kenyataan memaklumkan, penangguhan bermula hari ini (19 Mei) sehingga 28 Mei depan itu merangkumi semua pergerakan pelajar ke kolej kediaman dan rumah sewa pelajar di universiti berkenaan.

Ia sama ada pelajar yang pulang ke kampus dengan menggunakan bas yang diuruskan oleh pihak universiti atau dihantar oleh ibu bapa serta waris dan menaiki kenderaan sendiri.

“Hanya pelajar yang pulang dengan menaiki kapal terbang sahaja diberi kelonggaran untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampus.

“Bagi pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar berkeperluan khas yang perlu mengikuti sesi pengkuliahan secara fizikal, kumpulan ini akan dibenarkan kembali semula ke kampus bermula 29 Mei ini mengikut ketetapan jadual yang akan dimaklumkan oleh pihak USIM,” kata kenyataan itu lagi.

Jelas kenyataan itu, pihak USIM sentiasa mementingkan keselamatan para pelajar di samping berusaha memastikan pelajar dapat meneruskan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan baik.

“Pelajar hendaklah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa peka dengan pengumuman dari pihak USIM dari semasa ke semasa.

“Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini mengambil inisiatif melaksanakan Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021 lalu,” katanya.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan 538 orang daripadanya dihantar pulang menggunakan kenderaan universiti.

Mengikut perancangan awal, pelajar USIM dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat mulai 17 Mei sehingga 23 Mei 2021 hadapan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: