Rabu, 19 Mei 2021

Penunggang motosikal maut dilanggar pemandu elak anjing

Oleh NOR AINNA HAMZAH
 
KEADAAN lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Besar Ladang Gaddes, Jempol, petang semalam. - IHSAN POLIS

JEMPOL: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat kemalangan dua kenderaan di Jalan Besar Ladang Gaddes, dekat sini, petang semalam.

M. Haari, 20, meninggal dunia di Hospital Jempol selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat daripada hospital yang memaklumkan mangsa meninggal dunia pada pukul 7.15 malam.

“Kemalangan ini membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal yang ditunggang mangsa jenis Honda C70 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pekebun.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta dari arah Mahsan menuju ke Ladang Gaddes dan setibanya di tempat kejadian dia dipercayai gagal mengawal kenderaannya akibat mengelak anjing lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan. Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chang Hook berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibedah siasat pada pukul 9 pagi ini bagi mengetahui punca kematian.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: