PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya seakan trauma dengan sikap segelintir lelaki miang yang tanpa segan silu menghantar gambar dan mesej tidak senonoh kepadanya.
Jelas penyanyi Bertakhta Di Hati itu, dia sering menerima gambar atau pesanan lucah sehingga dia menjadi takut dan terlalu berhati-hati untuk mengenali seseorang lelaki.
“Banyak perkara yang tidak masuk akal saya terima, menakutkan. Kalau normal, individu itu tidak melakukan perkara tidak senonoh kerana ada rasa malu serta hormat kepada wanita.
“Siapa yang tidak mahu berkahwin, tetapi apabila mengenangkan banyak kejadian yang berlaku, saya jadi takut dan lebih berjaga-jaga untuk mengenali lelaki,” luahnya kepada Utusan Malaysia.
Faradhiya baru-baru ini berkongsi tangkap layar pesanan seorang individu yang menghantar mesej lucah dan gambar menjengkelkan kepadanya menerusi media sosial.
Malah, lelaki tersebut juga tanpa segan silu turut mendesak pelakon itu untuk bertemu dengannya.
Kongsi pelakon itu lagi, sejak dahulu dia sering menerima pelbagai mesej berunsurkan kurang senonoh oleh kebanyakan lelaki yang tidak dikenalinya.
“Baru-baru ini saya terima pesanan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali mendesak agar memberitahu alamat rumah sehingga dia ingin mencari di mana saya menetap. Saya tahu perkara seperti ini terjadi kepada artis-artis lain, tetapi rasanya dah melampau!
“Selain itu, dia juga kerap mendesak saya tanpa henti melalui pesanan di Instagram untuk berjumpa. Dalam dua minggu ini saya rasa hidup sangat diganggu olehnya. Malah, dia gelarkan saya dengan panggilan sayang.
“Lelaki itu ajak berjumpa kerana dia kerap melihat saya bersenam di kawasan tersebut. Sehinggalah kini saya tidak pergi bersenam lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Farahdhiya cuma menceritakan isu tersebut kepada rakan karibnya, tetapi mula rasa terganggu dan takut oleh kerana setiap hari menerima pesanan daripada lelaki itu.
“Saya belum belum mengambil tindakan memandangkan kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cuma saya memberi amaran agar individu itu tidak mengganggu dan saya juga sudah menyekat akaun Instagram lelaki tersebut,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan