Khamis, 20 Mei 2021

1,379 pekerja cuti tanpa gaji

EUGENE DASS

PETALING JAYA: Seramai 1,379 pekerja hotel di Langkawi, Alor Setar dan Perlis terpaksa diberikan cuti tanpa gaji dan baki 1,053 pekerja masih bekerja seperti biasa berikutan industri hotel malap di kedua-dua negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Persatuan Hotel Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, setakat ini, pihaknya reda dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

“Tidak mustahil, industri ini semakin malap dan bakal me­nyaksikan banyak hotel bajet ‘gulung tikar’ buat kali kedua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh MAH Kedah dan Perlis, antara pekerja yang pa­ling banyak diberikan cuti tanpa gaji adalah di Pelangi Beach Resort, Langkawi iaitu seramai 320 orang.

Hotel Putra Brasmana di Kuala Perlis pula masih beroperasi seperti biasa dan tiada pekerja yang diberi cuti tanpa gaji pada ketika ini.

Menurut Eugene, apa yang pasti, ketika ini sektor pelancongan termasuk hotel terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan kita amat memerlukan perhatian kerajaan.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pelaksanaan PKP sudah tentu memberi impak kepada industri pelancongan dan pengusaha hotel adalah antara terkesan.

“Pengusaha hotel di negeri ini dijangka mengalami kerugian sehingga RM10 juta susulan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuat kuasa dari 12 Mei hingga 7 Jun depan,” katanya.

Malah, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia Ne­geri Kelantan, Muhammad Nor Muhamad berkata, pihaknya memahami keperluan untuk melaksanakan PKP dan juga larangan menggesa merentas ne­geri.

“Tetapi saya mahu kerajaan serius dalam usaha ini. Jika nak tutup, tutup semua dan pastikan kes turun seperti yang kita pernah lalui dulu.

“Jangan ada PKP 4.0 pula selepas ini, saya yakin banyak lagi hotel akan ‘terkorban’. Untuk sekarang kami terpaksa menjual bangunan dan aset sebagai bahan terpakai hanya kerana tidak mahu hotel ditutup,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: