Isnin, 17 Mei 2021

Tiga lelaki ambil masa kurang seminit samun kedai emas

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika memeriksa sebuah kedai emas yang disamun tiga lelaki petang tadi. - Foto IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki hanya mengambil masa kurang dari seminit untuk melarikan barangan kemas pelbagai jenis dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas dekat Kompleks Idaman Jalan Gombak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada pukul 5.15 petang oleh orang awam sebelum bergegas ke lokasi.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kejadian kira-kira pukul 5 itu melibatkan tiga lelaki yang memakai jaket, bertopi keledar masing-masing bersenjatakan sebilah parang, kapak dan tukul besi.

“Ketiga-tiga suspek kemudiannya bertindak memecahkan cermin pameran barang kemas dan berjaya melarikan sejumlah barangan kemas di ruang pameran itu dalam masa kurang dari satu minit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Ashari, siasatan di lokasi mendapati premis berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan dan hanya mempunyai CCTV sahaja dan ketiga-tiga suspek dipercayai telah melarikan diri dengan menggunakan motosikal.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api,” tegas beliau.-K!ONLINE

Tiada ulasan: