Tindakan perundangan akan diambil jika Palestine Finance gagal ikut arahan
BANGI – Aman Palestin menafikan bahawa terdapat sebarang kerjasama di antara pihaknya dengan Palestine Finance seperti di pautan (https://palestine.finance/).
Ketua Pengarah Media dan Korporat Aman Palestin Berhad, Anas Abdul Wahab Kasim menegaskan, penggunaan nama Aman Palestin dalam pautan itu telah melanggar hak penggunaan logo dan jenama Aman Palestin sehingga menimbulkan keraguan dan salah faham dalam kalangan penyumbang.
Justeru, katanya, pihaknya memberi amaran tegas kepada pemilik pautan Palestine Finance untuk menurunkan semula logo Aman Palestin yang terdapat dalam laman sesawang berkenaan dan segera memohon maaf atas pelanggaran hak tersebut.
“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya pihak pemilik laman sesawang Palestine Finance gagal untuk melakukan arahan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Anas berkata, Aman Palestin setakat ini tidak menerima sebarang penyaluran dana berbentuk wang krypto, bitcoin dan seumpama dengannya.
“Kami hanya menerima penyaluran sumbangan berbentuk wang fizikal dan platform transaksi bank yang telah kami sediakan buat para penyumbang.
“Kepada para penyumbang, anda diminta untuk menghentikan sebarang penyaluran dana ke pautan https://palestine.finance/ sebagai usaha kita membanteras usaha-usaha memanipulasi usaha-usaha NGO di seluruh negara dan menggunakan dana membantu Palestin ke arah yang tidak baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan