KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tiada halangan jika ada pihak di negara ini yang berhasrat membeli sendiri vaksin Covid-19 tetapi pihak itu mesti mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Katalah sesetengah agensi, misalnya Petronas dan sebagainya (hendak membeli), kita tak boleh halang. Syaratnya ia mesti diuji selamat (oleh NPRA) dan kenalah ada lesen… tak boleh curi-curi, seludup bawa masuk,” katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM dan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha membekalkan vaksin kepada hospital dan pihak swasta bagi mempercepat proses pemberian vaksin kepada rakyat.
“Ia (proses vaksin di fasiliti swasta) tak kena caj pasal ia tanggungan kerajaan. Kita minta mungkin hospital itu boleh caj RM14 (dibiayai kerajaan) sekali suntikan macam tu dan vaksin tu percuma,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa sasaran mewujudkan imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai berikutan jaminan penghantaran bekalan vaksin yang ditempah akan tiba sebelum akhir tahun ini.
“Saya diberitahu oleh menteri (berkaitan), bekalan ini (vaksin) dah mula sampai bahkan saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual. Dahulu kalau jadualnya tahun depan, 2022 baru dapat selesai, tetapi sekarang ini saya telah diberi jaminan katanya sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.
“Maknanya kita boleh dapat capai imuniti kelompok atau 80% suntikan vaksin (untuk penduduk Malaysia) sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Bagi melancarkan proses vaksinasi, Muhyiddin berkata lebih 600 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan setakat ini dengan PPV mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang boleh memuatkan 8,000 orang.
Katanya kerajaan juga menyasarkan seramai 150,000 orang mampu divaksin setiap hari tidak lama lagi dengan kemudahan PPV yang ada.
Beliau juga berkata negara akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin berhubung tempoh selang masa antara suntikan pertama dan kedua dalam proses pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat.
“Saya dinasihatkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) kita ikut cara yang diberi oleh pengeluar vaksin. Contohnya Pfizer tetapkan buat suntikan kedua lepas 21 hari, jadi kita ikut kata dia (Pfizer) kerana mereka ada pakar yang telah membuat kajian kenapa perlu disuntik selepas 21 hari, kita tidak ada masalah dengan ini.
“Bagi saya, tak kira apa pun setiap orang berhak dapat, jika Johnson&Johson sekali suntik sahaja kita ikut, jika dua dos kita ikut dua dos. Kita ikut dan patuh,” katanya.
Dilaporkan berkuat kuasa 19 Mei lepas, Singapura melaksanakan strategi melanjutkan selang masa antara suntikan
aksin pertama dan kedua selama enam hingga lapan minggu berbanding tiga hingga empat minggu sebelum ini.
Strategi mengutamakan pemberian dos pertama seperti yang turut dilaksanakan oleh negara seperti United Kingdom dan Jerman itu adalah bagi melindungi lebih ramai orang menerusi pemberian dos pertama vaksin dengan lebih cepat.
Muhyiddin turut menasihatkan mereka yang sudah lengkap mendapatkan vaksin supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana jangkitan masih boleh berlaku.
“Jangan langgar SOP. Macam saya dah dua dos vaksin, setakat ini semua ujian saya negatif tapi saya tak boleh bangga diri kerana jangkitan di luar ini masih berlaku. Kita takkan rasa selamat di Malaysia kalau seluruh dunia masih belum selamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan