Isnin, 24 Mei 2021

Wanita hamil perlu maklumat jelas mengenai vaksin, kerajaan diberitahu

Wanita hamil tidak mendapat maklumat jelas tentang bagaimana dan bilakah 
mereka akan divaksin, kata seorang bakal ibu. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Satu kempen dilancarkan bagi mendapatkan garis panduan jelas mengenai vaksinasi wanita hamil sewaktu kes jangkitan harian Covid-19 terus melonjak naik.

Liyana Helmi Hadi, yang kini hamil anak kedua berkata, tiada penjelasasan mencukupi mengenai proses vaksinasi tersebut dengan persoalan berhubung peluangnya mendapat suntikan vaksin Pfizer, yang merupakan satu-satunya jenama yang disyorkan oleh kerajaan untuk wanita hamil dan ibu menyusu, tidak berjawab.

Beliau melancarkan satu petisyen (http://chng.it/nNHLX6TK6Q), yang mendapat sokongan lebih 100 pembaca, bagi mendapatkan garis panduan terperinci berhubung perkara itu.

“Kita semua tahu, kami dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi dan vaksin Pfizer sesuai untuk wanita hamil antara 14 hingga 33 minggu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan bagaimanakah bakal ibu dikategorikan di bawah program vaksinasi kebangsaan kerana aplikasi MySejahtera tidak menghendaki pemohon menyatakan sama ada mereka hamil atau sebaliknya.

“Borang pendaftaran vaksinasi tidak termasuk pertanyaan mengenai kehamilan dan penyusuan, jadi kami mahu tahu apa rancangan kerajaan untuk bekalan Pfizer untuk memenuhi (keperluan) kami,” katanya.

Menurut kempen program vaksinasi kebangsaan, wanita yang hamil 14 hingga 33 minggu harus mendapat vaksin Pfizer atau menangguhkannya sehingga selepas bersalin, sementara vaksin AstraZeneca dan Sinovac tidak disyorkan.

Liyana, 30, yang kini hamil 12 minggu, tertanya-tanya sama ada jumlah vaksin Pfizer yang tersedia mencukupi.

Beliau berkata, tiada respons diberikan terhadap pelbagai komen dan pertanyaan yang dikemukakan dalam saluran media sosial jawatankuasa khas vaksin.

Beliau berkata, kerajaan United Kingdom misalnya menyediakan senarai terperinci berhubung soalan yang kerap ditanya (FAQ).

“Ia menyediakan garis panduan yang komprehensif untuk golongan rentan, dan membantu orang membuat keputusan dengan tepat mengenai pengambilan vaksin.”

Bulan lepas, kajian Universiti Oxford mendapati wanita hamil yang dijangkiti virus Covid-19 berdepan risiko komplikasi lebih tinggi.

Satu lagi kajian British mencadangkan jangkitan Covid-19 ketika hampir waktu bersalin meningkatkan kemungkinan kematian bayi atau kelahiran pramatang, walaupun risiko keseluruhan masih rendah.

Tiada ulasan: