Isnin, 17 Mei 2021

Tendang pagar masjid akibat tidak dapat solat

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

  TANGKAP layar video memaparkan seorang lelaki menendang pagar besi sebuah masjid di Batu Caves Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Akibat berang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat, seorang penghantar bertindak menendang pagar besi sebuah masjid di Batu Caves, dekat sini Jumaat lalu.

Tindakan lelaki itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada bilal masjid memaklumkan pagar besi itu tercabut kira-kira pukul 1.40 tengah hari kelmarin.

Katanya, semakan daripada CCTV mendapati seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dalam keadaan seperti mengamuk dan menendang pagar besi masjid sehingga tercabut serta jatuh.

“Susulan itu, suspek berusia 35 tahun ditahan ketika dia tampil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

“Kira turut merampas sebuah Nissan Navara dan sepasang baju Melayu yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca akibat suspek berasa marah kerana tidak diberi kebenaran untuk masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat.

Ujar beliau, pihaknya telah menjalankan ujian saringan air kencing dan suspek didapati negatif dadah.

“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Mei nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427/295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: