Isnin, 17 Mei 2021

Jangan ambil produk Ivermectin untuk rawat Covid-19

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19 bagi mengelak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pandangan berkenaan penggunaan produk terbabit yang masih belum diketahui keberkesanannya.

Katanya, produk itu juga tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan Covid-19. 

“Sehingga kini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

“Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan Covid-19. Perkara ini telah dijelaskan FDA dalam artikel yang bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19.

Katanya, EMA berbuat demikian kerana tiada data klinikal yang mencukupi sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials pada 22 Mac 2021.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian dan percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel yang bertajuk WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials pada 31 Mac 2021. 

“Bagaimanapun, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, pihak Kementerian Kesihatan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di negara ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi pandemik Covid-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan yang diluluskan untuk kegunaan di negara ini.  -UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: