Khamis, 20 Mei 2021

Tak bayar cukai RM9.41 juta, peguam utama Najib disaman LHDN

AGENDA DAILY

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam utama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejumlah RM9.41 juta kerana tidak membayar cukai pendapatannya kepada kerajaan.

LHDN memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 6 Mei lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2016, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557,87 melalui Notis-notis taksiran (tambahan) bertarikh 27 Mei 2019.

Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bapanya berkata pihaknya masih belum menerima writ saman tersebut daripada LHDN.

“Pihak kami hanya mengetahuinya (saman) melalui media,” katanya lapor Bernama hari ini.

Sumber LHDN ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum menyerahkan writ saman itu kepada Muhammad Shafee dan berkata ia akan diserahkan dalam masa terdekat.

Muhammad Shafee merupakan peguam kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Tiada ulasan: