Khamis, 20 Mei 2021

Bapa kembara 5 km cari liputan internet untuk anak belajar PdPR

MUHAMAD Akif Norhisam (kiri) bersama adiknya, Muhamad Haziq memanjat pokok semata-mata mahu mencari liputan internet di kawasan rumah mereka di Kampung Parit Puasa, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT: Masalah liputan internet yang tidak stabil memaksa seorang bapa ‘mengembara’ sejauh lima kilometer (km) pada setiap hari demi memastikan anak-anaknya tidak terlepas dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlangsung ketika ini.

Malah, Noridi Yasa, 40, sanggup berulang-alik beberapa kali setiap hari dari rumahnya di Kampung Parit Puasa, Parit Sulong sebaik guru sekolah kepada tiga anaknya menghantar kerja sekolah yang perlu disiapkan melalui kumpulan WhatsApp.

Katanya, jika tidak keluar dari rumah untuk memuat turun bahan yang dihantar guru, anak-anaknya yang bersekolah di darjah empat, dua dan tadika itu tidak akan dapat menyiapkan kerja sekolah dalam tempoh ditetapkan.

“Masalah internet di rumah saya dan kampung ini memang amat teruk, bayangkan jika guru hantar bahan melalui WhatsApp, sudah beberapa minit saya tidak dapat memuat turun lagi apa yang dihantarnya.

“Hanya teks yang dapat dibaca segera tetapi jika gambar, video atau apa-apa dokumen tidak boleh dilihat serta-merta. Jika terlalu lama menunggu, saya bimbang anak-anak akan hilang mood untuk belajar kerana maklum sahajalah belajar di rumah dan sekolah tidak sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memutuskan sesi PdPR kembali dilaksanakan sejak Isnin lalu susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di seluruh negara termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas daerah serta negeri.

Tambah Noridi, masalah internet di kampung itu bukan perkara baharu, namun mula menjadi perhatian ibu bapa sepertinya setelah PdPR diperkenalkan sejak Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Sementara itu, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Agama (SMA) Attarbiah Al Islamiah, Muhamad Akif Norhisam, 15, dan adiknya, Muhamad Haziq, 13, pula terpaksa memanjat pokok di kawasan rumah mereka untuk mendapatkan talian internet setiap kali mahu mengikuti sesi PdPR.

Kata mereka, hanya dengan cara itu dapat menguatkan sedikit isyarat internet di persekitaran rumah meskipun kadang-kala tetap berdepan juga dengan masalah isyarat lemah.

“Kalau duduk dalam rumah memang tak dapat nak akses apa-apa dan ia sudah semestinya akan mengganggu kami untuk belajar dengan sempurna bersama guru dan rakan-rakan lain,” kata Muhamad Akif. – UTUSAN

Tiada ulasan: