Rabu, 12 Mei 2021

Selisih faham berkaitan hutang, hasil jual dadah punca bunuh rakan

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

PETALING JAYA: Perselisihan faham berkaitan penjualan dadah dan masalah hutang dipercayai punca seorang lelaki dibunuh rakannya di sebuah kawasan pembinaan yang belum siap di Damansara Perdana di sini pada 6 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.17 petang itu, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat lelaki terjatuh dari bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 24 tahun ditemukan di tingkat 2a kawasan pembinaan yang belum siap dalam keadaan cedera di badan dan disyaki dibunuh.

Katanya, susulan itu polis menahan suspek lelaki berusia 24 tahun di kawasan tempat letak kenderaan di Bandar Sunway, Subang Jaya pada pukul 4.25 petang, Ahad lalu.

“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan swasta.

“Suspek dipercayai menerima 100 jahitan akibat kecederaan itu dan hasil siasatan lanjut, suspek kemudian menunjukkan pakaiannya yang berlumuran darah di kediamannya di Taman Sri Kuching, Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fakrudin, suspek kemudian menunjukkan sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah bangunan kediaman di Subang Jaya.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas pakaian milik suspek yang dipakai semasa kejadian berupa seluar jeans, baju t-shirt, topi dan dua pasang kasut yang mempunyai kesan darah.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman sehingga menyebabkan pendarahan yang banyak dipercayai mangsa dibuang oleh suspek dari balkoni rumah selepas meninggal dunia.

“Motif pembunuhan adalah kerana tidak puas hati berkenaan hasil penjualan dadah dan juga masalah hutang,” katanya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis ganja.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: