Rabu, 12 Mei 2021

Lelaki dipercayai liwat, bunuh bayi didakwa esok

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang didakwa meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah unit pangsapuri di Jalan PJU 1A/42 di sini pada 27 April lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut disyaki ditekup menggunakan tangan dan beberapa kesan koyakan di bahagian dubur mangsa dipercayai akibat kemasukan benda tumpul.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki tersebut dan isterinya, masing-masing berusia 35 tahun, sebelum ini direman 13 hari bermula 30 April lalu sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, punca kematian mangsa adalah kerana mulut ditekup sehingga kesesakan nafas dan menyebabkan kematian.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek adalah positif syabu serta semakan jenayah lampau mendapati lelaki itu memiliki dua rekod jenayah lampau kes dadah sementara isterinya tiada rekod jenayah,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya telah merujuk kertas siasatan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, suspek lelaki akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan esok.

“Isterinya pula akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan serta akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Pada 30 April lalu, media melaporkan polis menahan pengasuh wanita dan suaminya selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan mereka ditahan di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: