Jumaat, 14 Mei 2021

Selepas RTM, The Star pula guna istilah ‘militan’ pada Hamas

Athirah Huda Zalhe

Adakah sengaja butakan diri dari ambil tahu sejarah penjajahan oleh Zionis?

BANGI – Selepas Berita Mandarin, TV2 Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM),  akhbar berbahasa Inggeris, The Star pula menyiarkan laporan berita yang menggelar Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan.

Penggunaan istilah itu digunakan The Star menerusi berita dunia yang disiarkan semalam bertajuk ‘Fear replaces holiday joy in Gaza as fight with Israel escalates’.

Berita berkenaan dipercayai merujuk pada laporan Reuters, di mana perenggan keempatnya menyatakan, “ Tembakan roket dan peluru berpandu berbalas serangan sejak Isnin di antara militan Hamas di Gaza dan tentera Israel di sempadan, susulan ketegangan terbaharu berkaitan konflik pemilikan tanah di Baitulmaqdis”.

Meskipun laporan berkenaan sudah dipadamkan, mantan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin kecewa kerana istilah asal yang digunakan salah dan terpesong. 

Beliau menyifatkan media Malysia yang didukungi cauvinis, evangelis dan pro-Liberal Barat sememangnya menyokong agenda Israel berbanding perjuangan Palestin.

“Mereka sengaja membutakan diri daripada mengetahui sejarah penjajahan oleh Zionis Israel yang didukung oleh Barat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, berita Mandarin yang disiarkan RTM mencetuskan kontroversi sama apabila menggunakan istilah militan yang merujuk kepada Hamas dalam pelaporan berita berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin.

Susulan itu, Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin, TV2 dipanggil memberikan penjelasan, termasuk mengenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) ke atas pegawai yang terlibat.

Tiada ulasan: