Sabtu, 15 Mei 2021

Arwah Haziq selamat dikebumikan

Oleh HADI AB MANAP
ALLAHYARHAM Haziq Kamaruddin selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP

JASIN: Jenazah pemanah kebangsaan, Allahyarham Haziq Kamaruddin selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat di sini, kira-kira pukul 1.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di surau kampung berkenaan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat diawasi polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Haziq, 28, selesai menjalani bedah siasat di Hospital Kajang, Selangor kira-kira pukul 9.30 malam semalam dan jenazahnya dimandikan serta dikafankan di sana.

Antara yang dilihat mengiringi jenazah ialah balu Allahyarham, Shahira Abdul Halim; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan.

Haziq disahkan meninggal dunia secara mengejut pagi semalam di rumahnya di Kajang, Selangor.

Allahyarham merupakan anggota skuad memanah recurve kebangsaan sejak 10 tahun dan pernah beraksi dalam Olimpik 2012 di London serta Rio 2016.

Haziq menjadi taruhan negara untuk layak ke temasya Olimpik Tokyo dalam acara berpasukan, seterusnya mengikuti jejak rakan pasukan, Khairul Anuar Mohamad.

Difahamkan Allahyarham membuat permintaan khas untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama isterinya yang bersendirian di rumah mereka di Kajang pada hari pertama perayaan. UTUSAN

Tiada ulasan: