TIDAK hairanlah jika tiga hari lalu didedahkan penggunaan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa COVID-19.
Hari ini, 59 kes kematian akibat virus itu direkodkan – tertinggi yang pernah dilaporkan sejak COVID-19 mula dilaporkan di Malaysia.
Jumlah kumulatif korban COVID-19 kini berjumlah 2,099.
Sebelum ini rekod kematian tertinggi dilaporkan adalah dua hari lalu dengan 47 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 14 kes di Johor, 10 kes di Selangor dan lapan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
” Enam kes kematian lagi di Kelantan, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga kes di Kedah, Perak, dan Terengganu, dua kes di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kematian termuda hari ini melibatkan seorang lelaki yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit dan individu meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Kematian tertua pula berusia 91 tahun yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, kes COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini berjumlah 587.
Pada masa sama kata beliau, seramai 330 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut kes sembuh yang dilaporkan hari ini pula sebanyak 3,916 – tinggi tetapi tetap lebih rendah daripada penularan baharu yang mencecah 6,806 kes.
Perkembangan ini menjadikan jumlah kes aktif COVID-19 di seluruh negara berjumlah 50,171 kes.
Baca artikel berkaitan: 6,806 kes baharu! Esok, lusa entah berapa kalau SOP terus diabai
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 24 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini.
Katanya, tertinggi melibatkan kluster tempat kerja (sembilan) diikuti komuniti (tujuh), kegamaan (enam), kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan.
Negeri yang melaporkan kluster baharu pula adalah Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Kedah, Sarawak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan