SEBANYAK 2.16 juta dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan setakat semalam sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, pemberian jumlah dos itu merangkumi seramai 1.33 juta individu yang telah memperoleh dos pertama vaksin COVID-19 tersebut.
Pada masa sama, Dr. Adham berkata, seramai 827,389 individu lagi telah pun melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
Bagi dua dos vaksin, kata Dr. Adham, Selangor kekal menjadi penerima tertinggi iaitu merangkumi sebanyak 113,198 sehingga semalam.
Katanya, ia diikuti Kuala Lumpur iaitu sebanyak (83,377); Sarawak (82,041); Johor (73,494) dan Perak (67,345).
Beliau berkata, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi bagi dua dos vaksin iaitu sebanyak 64,467 seterusnya Pahang (58,403); Pulau Pinang (57,484) dan Kedah (53,820).
“Di Kelantan pula, sebanyak 41,220 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 36,973 di Negeri Sembilan; 34,339 di Terengganu dan 28,564 di Melaka.
Baca artikel berkaitan: Kes Selangor tertinggi tetapi hanya 3.3 peratus rakyatnya di vaksin – Dr Siti Mariah
“Sebanyak 16,527 dos kedua vaksin telah diberikan di Perlis dan masing-masing sebanyak 8,875 dan 7,262 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 181,015 individu.
Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 174,890 di Selangor; 133,421 di Sarawak; 115,325 di Johor dan 112,371 di Perak.
“Bagi jumlah pendaftaran harian PICK pula telah mencecah 10.36 juta setakat semalam atau 42.70 peratus daripada populasi.
“Selangor masih negeri tertinggi yang mendaftar iaitu seramai 2.69 juta diikuti Johor (1.24 juta), Sarawak (1.14 juta) dan Kuala Lumpur (842,114),” jelas beliau.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan