Khamis, 13 Mei 2021

Rebut anak pagi Syawal, lelaki bunuh bekas abang ipar

Oleh KOSMO!

Pasukan Forensik di lokasi mangsa ditikam bekas adik iparnya di sebuah rumah di Jalan Berangan Enam, Umbai, Melaka.

JASIN – Seorang lelaki maut selepas ditikam oleh bekas adik ipar yang mengamuk ingin mengambil dua orang anak perempuannya di Jalan Berangan Enam, Umbai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, suspek berusia 32 tahun yang mempunyai rekod lampau dadah bertindak melarikan diri selepas kejadian dan masih diburu pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai ejen Coway disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka akibat kecederaan ditikam di bahagian rusuk kanan.

Mohd. Sukri Kaman

“Pihak polis menerima laporan pada pukul 7.46 pagi tadi mengenai suspek seorang lelaki Melayu berusia 36 tahun telah datang ke rumah bekas isterinya dalam keadaan mengamuk ingin mengambil dua orang anak perempuan berusia tujuh dan 10 tahun.

“Suspek dipercayai turut membawa pisau sepanjang anggaran enam inci. Suspek kemudian cuba ditenangkan oleh bekas abang iparnya, namun berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam di bahagian rusuk kanan oleh suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, difahamkan suspek bercerai dengan isterinya berusia 32 tahun pada Januari lalu dan kedua-dua anak perempuannya di jaga oleh wanita berkenaan.

“Sewaktu kejadian bekas isteri dan ahli keluarga yang lain termasuk anak-anak berada di dalam bilik dan tidak menyaksi tragedi tersebut kerana terlalu takut.

“Selepas menikam abang iparnya, suspek bertindak melarikan diri bersama-sama senjata dibawa dan polis sedang giat mengesannya,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan lanjut, suspek mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -K! ONLINE

Tiada ulasan: